fbpx

Menanti PM baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BANGUNAN Putra Perdana yang menempatkan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
NOR IDAYU BOSRO
WAKIL KOSMO! PUTRAJAYA

SEHARI sebelum Tan Sri Muh­yiddin Yassin menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, beliau sempat mengeluarkan kenyataan berhubung kemudahan sektor ekonomi kepada individu lengkap divaksin.

Menerusi kenyataan tersebut, sebanyak 11 aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi semula di negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) meliputi Selangor, Kedah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor selain Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Pengumuman kelonggaran sektor ekonomi kepada negeri-negeri Fasa 1 PPN itu dibuat hanya selang seminggu selepas kemudahan sektor sosial diumumkan dengan menyaksikan aktiviti rentas daerah dan negeri bagi kumpulan tertentu serta kuarantin wajib di rumah untuk pengembara dibenarkan bagi semua fasa.

Ada pihak berpendapat tindakan tersebut seolah-olah dibuat secara terburu-buru ketika Kementerian Kesihatan menyua­rakan kebimbangan terhadap penularan varian Lambda serta varian baharu lain di negara luar yang dipercayai mempu­nyai ke­rintangan terhadap vaksin yang digunakan di Malaysia pada masa ini.

Dalam keadaan politik semasa yang menyaksikan kerajaan baharu bakal dibentuk tidak lama lagi, perkara berbangkit sebegini wajar diperhalusi semula demi memastikan keselamatan nyawa rakyat menjadi keutamaan utama untuk dilindungi.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara Pahang, Dr. Ilyas Abdullah berkata, kerajaan baharu perlu meneliti semula dengan lebih mendalam prosedur operasi standard (SOP) seperti kebenaran merentas ne­geri dan daerah berikutan hampir kebanyakan negeri masih lagi merekodkan kes jangkitan tinggi.

Beliau berkata, kelonggaran ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga harus disesuaikan de­ngan SOP yang difikirkan wajar oleh perdana menteri yang me­mimpin kerajaan baharu.

Menurutnya, tindakan membuka sektor ekonomi secara berperingkat perlu ditambah baik mekanisme pelaksanaannya agar tindakan tersebut benar-benar memberi impak positif kepada negara.

Katanya lagi, kerajaan baharu tidak perlu khuatir dengan tanggapan rakyat meskipun dianggap melaksanakan suatu tindakan mengundur ke belakang.

“Kerajaan baharu harus menetapkan suatu petunjuk lebih jelas dan realistik sebelum kemudahan sedemikian diberikan tanpa perlu tergesa-gesa.

“Tiada gunanya sekadar memenangi hati rakyat jika negara masih lagi bergelut dengan krisis kesihatan yang mendesak. Tumpuan harus digembleng agar setiap negeri kembali menjadi zon selamat,” katanya.

Ilyas berkata, kerajaan baharu juga mungkin boleh mengambil sikap bekerjasama meskipun dalam persekitaran berseteru dengan kerajaan terdahulu yang merangka pelan tersebut.

Katanya, ini kerana pertukaran pucuk pimpinan negara berlaku dalam situasi yang begitu getir, malah pengumuman berkenaan dibuat dalam tempoh singkat sebelum kerajaan PN mengakui telah hilang majoriti.

“Justeru, kerajaan baharu sememangnya berdepan cabaran lebih besar apabila mengambil alih tampuk pemerintahan ketika kes Covid-19 mencecah angka 20,000 sehari,” ujarnya.

Begitupun kata Ilyas, program imunisasi Covid-19 wajar dite­ruskan tanpa dilakukan apa-apa perubahan dasar besar kerana negara sudah mencapai fasa peratusan vaksinasi yang boleh dibanggakan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI