PETALING JAYA – Pelakon Izara Aishah yang baru sahaja melakukan hijrah apabila kini sudah bertudung labuh memaklumkan, dia akan tetap melawa walaupun sudah menutup aurat dengan sempurna.
Menerusi Twitter, Izara atau nama lengkapnya, Nik Izara Aishah Nik Izazurin, 29, menasihatkan orang ramai dalam satu ciapan bersahaja agar jangan terlalu serius dengan apa yang dikongsikan.
“Nak berhijrah atau nak melawa? Nak dua-dua (ketawa). Jangan serius sangat,” ciapnya.
Ujar pelakon filem Pilot Cafe itu lagi, menjaga penampilan merupakan perkara sunnah dan sebahagian daripada dakwah. Allah SWT juga tidak melarang perihal itu.
“Kalau merakamkan gambar membuatkan anda gembira, lakukannya. Allah sukakan keindahan. Menjaga penampilan merupakan satu sunnah dan juga sebahagian daripada dakwah.
“Bau wangi itu sunnah. Kalau sukakan penampilan anda, itu tanda syukur kepada Allah, selagi tiada sifat riak. Sebab apabila pakai baju mahal, ada manusia yang jadi ‘ekshen’ (riak),” kata Izara membalas satu ciapan daripada netizen.
Semalam, Izara Aishah menjelaskan, dia tidak mempunyai niat untuk melancarkan jenama tudungnya sendiri meskipun sudah berhijab sepenuhnya.
Coretnya menerusi Twitter, dia memilih untuk membeli tudung yang hendak digayakannya berbanding mengeluarkan produknya sendiri.
“Jual tudung bukan sesuatu yang saya nak buat. Maaf, saya lebih suka membeli.
“Saya selalu teringin nak lancarkan jenama baju sendiri tetapi buat masa sekarang malas. Sangat sibuk menjaga nyawa kecil saya (anak) dan sudah cukup gembira dengan bisnes lain,” ciapnya.
Terdahulu, pada 14 Ogos lalu, Izara mengejutkan peminatnya selepas memadam semua fotonya yang tidak bertudung dalam Instagram. – K! ONLINE