YAN – Penduduk di Kampung Perigi di sini dikejutkan dengan kejadian limpahan air deras akibat kejadian kepala air dari kawasan peranginan Air Terjun Seri Perigi di sini pada petang ini.
Penduduk, Zamzurina Ab. Rahman, 45, memberitahu, dia yang berada di rumah terdengar bunyi deruan air yang kuat dari kawasan peranginan tersebut kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
“Saya terus ke kawasan tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah saya dan mendapati berlaku limpahan air akibat kepala air yang turun dari air terjun.
“Keadaan air deras yang turun dari kawasan air terjun itu sangat menakutkan yang mana air turut melimpah ke beberapa rumah dan chalet berhampiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, kejadian kepala air itu menyebabkan kawasan peranginan tersebut dipenuhi lumpur dan kayu selain permukaan tar jalan turut rosak.
Menurut Zamzurina, kalangan penduduk bimbang air dari kawasan air terjun itu akan melimpah lagi kerana hujan masih lebat.
Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan, Mohamad Firdaus Mohmad berkata, keadaan yang berlaku sangat teruk dan beliau masih tidak mempunyai maklumat jumlah rumah yang terjejas selain sama ada berlaku kemalangan jiwa atau tidak.
“Keadaan hujan masih lebat dan ada maklumat yang saya terima beberapa rumah terletak berhampiran sungai turut dinaiki air,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929