SHAH ALAM – Sebanyak 52.9 peratus atau 2.5 juta rakyat di Selangor sudah lengkap menerima dua dos vaksin sehingga semalam.
Berdasarkan statistik terkini pencapaian vaksinasi Covid-19, sejumlah 6.28 juta dos vaksin sudah diagihkan dengan seramai 3.7 juta orang atau 79.4 peratus yang sudah menerima dos vaksin pertama.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan program SelVAX Komuniti turut memberi manfaat kepada seramai 250,000 orang yang belum mendapat vaksin.
“Usaha melengkapkan dan mempercepatkan proses vaksinasi rakyat itu adalah dengan mengenal pasti golongan sasaran.
“Program berkenaan akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang masih belum divaksin,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Program SelVAX turut merangkumi SelVAX Industri yang melibatkan seramai satu juta pekerja di negeri ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan program itu diteruskan untuk warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Ia merekodkan kehadiran warga emas, peniaga pasar pagi, pengasuh kanak-kanak, golongan B40 dan penduduk yang belum menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Kerajaan negeri akan terus berusaha memastikan vaksinasi dapat disegerakan untuk warga Selangor sepantas mungkin,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929