fbpx

Sindiket penyeludupan ketum guna dron pantau penguat kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zawawi (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada dua tan daun ketum yang ditemui terapung berhampiran Pulau Batu Layang pada tengah malam semalam.

KUALA PERLIS – Sindiket penyeludupan daun ketum menerusi perairan negara semakin licik apabila didapati menggunakan dron untuk memantau pergerakan bot penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan rondaan dan operasi di kawasan perairan ini sejak awal tahun ini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah memberitahu, anggota risikan APMM menerima maklumat terdapat sindiket yang menggunakan peralatan moden tersebut setiap kali mahu menyeludup daun tumbuhan itu ke Thailand.

“Kita mengesyaki selain mengupah tonto, sindiket ini juga menggunakan dron untuk memantau pergerakan bot penguat kuasa APMM serta pihak berkuasa lain seperti Pasukan Polis Marin dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Penggunaan dron ini dipercayai memudahkan kerja penyeludup untuk memastikan laluan menghala sempadan perairan Malaysia-Thailand ‘selamat’ untuk dilalui,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Zon Kuala Perlis di sini hari ini.

Kata beliau, anggotanya juga masih berhadapan dengan cabaran tonto yang menyalurkan maklumat tentang pergerakan bot penguat kuasa.

“Tonto-tonto ini boleh berada di mana sahaja termasuk di kawasan rumah atas air atau mungkin menyamar sebagai nelayan dan pemancing. Mereka mungkin menerima upah sehingga RM50 untuk salurkan maklumat hanya melalui panggilan telefon,” ujarnya.

Dalam kejadian terbaharu, Menurut Mohd. Zawawi, pihaknya merampas sebanyak 200 bungkusan hitam mengandungi daun ketum seberat kira-kira dua tan dianggarkan bernilai RM360,000 terapung di laut pada kedudukan 1.1 batu nautika barat daya Pulau Batu Layang di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI