SHAH ALAM – Empat termasuk seorang jurutera direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berjumlah RM130,000 bagi projek jalan dan sekolah tahfiz pada tahun 2019.
Turut direman adalah seorang penolong jurutera selama tujuh hari berhubung rasuah lebih RM8,000 bagi memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan yang sama.
Perintah reman dikeluarkan terhadap kesemua suspek berusia 37 hingga 45 tahun itu oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Ahmad Faisal Azmi selepas membenarkan permohonan dikemukakan secara berasingan oleh SPRM.
Mereka yang direman adalah tiga kakitangan kerajaan yang berkhidmat di Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor.
Manakala dua lagi suspek merupakan pengurus syarikat termasuk salah seorangnya difahamkan adalah bendahari bahagian sebuah parti politik.
Menurut sumber, kesemua suspek terdahulu ditahan antara pukul 1.30 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Katanya, dua suspek kakitangan kerajaan iaitu jurutera dan seorang penolong jurutera dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor terbabit, dua tahun lalu.
“Tindakan itu dipercayai bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah tersebut.
“Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek tersebut namun telah menggunakan nama syarikat-syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek itu,” katanya di sini hari ini.
Sumber turut memaklumkan seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor.
“Ini sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929