fbpx

Sorok 23 pokok keladi dalam tong ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maqis Johor merampas 23 pokok keladi yang cuba diseludup masuk dari Singapura ketika pemeriksaan di Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, semalam. - Foto: IHSAN MAQIS

JOHOR BAHRU – Cubaan pihak tidak bertanggungjawab menyeludup masuk tanaman pokok keladi ke negara ini melalui laluan darat di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini berjaya dipatahkan pihak berkuasa.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam satu kenyataan berkata, cubaan tersebut digagalkan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurut kenyataan itu, sejumlah 23 tanaman pokok keladi hiasan itu dikesan cuba dibawa masuk ke negara ini dari Singapura pada pukul 4.30 pagi, semalam.

“Perkara tersebut dikesan ketika pemeriksaan dibuat terhadap sebuah lori di laluan import KSAB.

“Hasil pemeriksaan menemui tanaman keladi hiasan yang bernilai RM7,230 dan cuba dibawa masuk tanpa sebarang dokumen sah seperti Permit Import Maqis dan sijil rawatan dari negara asal.

“Modus operandi digunakan adalah dengan menyembunyikan kesemua pokok tanaman keladi hiasan ke dalam tong ikan yang kosong dan bertujuan untuk dijual ke pasaran tempatan.

“Untuk makluman, tanaman keladi hiasan yang ditahan adalah dari spesies Anthurium luxurians, Anthurium magnificum dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Maqis berkata, cubaan seludup masuk tanaman pokok berkenaan dibuat kerana terdapat permintaan tinggi terhadap tanaman itu di negara ini.

“Permintaan tinggi di kalangan penggemar tanaman tersebut menjadikan pengimport mengambil tindakan berani dengan menyeludup masuk spesies yang jarang ditemui di pasaran tempatan.

“Beberapa tanaman yang ditahan dianggarkan bernilai RM3,200 hingga RM3,800 seunit di pasaran tempatan,” jelasnya.

Maqis turut memaklumkan perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa Permit Import sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,”katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI