fbpx

Bintang gergasi di ambang ‘kematian’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BETELGEUSE mula malap pada Oktober tahun lalu.

LONDON – Sekumpulan saintis mengenal pasti punca sebutir bintang yang dianggap antara paling terang kini menjadi semakin malap, lapor laman berita Daily Star baru-baru ini.

Pengarah Divisyen Sains Planetari Solar Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian, Andrea Dupree berkata, bintang dikenali sebagai Betelgeuse itu semakin pudar cahayanya kerana ia di ambang ‘kematian’.

“Berdasarkan pemerhatian mengunakan Teleskop Angkasa Hubble, Betelgeuse mengeluarkan kepulan awan panas dan mampat ke angkasa lepas yang kemudian menjadi sejuk dan membentuk debu.

“Debu menyekat cahaya bintang tersebut dan menjadikannya kelihatan semakin malap jika dilihat dari Bumi,” katanya dalam sebuah artikel yang disiarkan dalam penerbitan saintifik, The Astrophysical Journal minggu lalu.

Betelgeuse tergolong dalam kategori Supergiant Merah iaitu jenis bintang paling besar di alam semesta. Saiznya adalah 700 kali ganda lebih besar daripada Matahari. Jika bintang itu terletak di pusat sistem solar, permukaan Betelgeuse akan meliputi hingga ke Planet Musytari.

Cahaya Betelgeuse mula malap sejak Oktober tahun lalu dan pada Februari tahun ini, ia kehilangan dua pertiga sinarannya. Saintis-saintis percaya fenomena tersebut adalah proses awal kehancuran bintang berkenaan yang akan mengalami letupan supernova. Letupan itu boleh dilihat dari Bumi.

“Sejujurnya, para saintis masih belum mengetahui bila ia akan mengalami letupan supernova.

“Kejadian ini mungkin bukan semasa hayat kami. Namun, kami juga tidak tahu keadaan bintang seminggu atau sehari sebelum ia meletup,” jelas Dupree.

Dalam letupan supernova, bintang gergasi seperti Betelgeuse akan menghamburkanbegitu banyak elemen berat seperti karbon, oksigen dan besi ke angkasa lepas. Elemen tersebut menjadi bahan binaan bintang generasi baharu.

Betelgeuse terletak agak dekat dengan sistem solar kita pada jarak sekitar 725 tahun cahaya. Satu tahun cahaya merujuk kepada jarak perjalanan cahaya dalam tempoh setahun iaitu 9.5 trilion kilometer. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI