PETALING JAYA – Selepas pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya, pengacara sensasi, Azwan Ali tidak menunggu lama untuk membalas tindakan tersebut.
Azwan atau nama lengkapnya, Mohamed Azwan Ali menerusi Twitter seperti mengajuk Rozita yang mesra disapa sebagai Che Ta dengan satu ciapan ringkas.
“Syabas Polis Diraja Malaysia (PDRM)! Kekal nombor satu! Gelupuh (gelupur) kena soal siasat? Ha, menyalak lagi,” ciapnya sebentar tadi.
Hari ini, Che Ta memberi keterangan hampir empat jam berhubung laporan polis yang dibuat pengacara kontroversi tersebut terhadapnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur.
Che Ta ketika ditemui Kosmo! Online memberitahu, proses memberi keterangan berjalan dengan lancar dan kini hanya menunggu untuk tindakan selanjutnya.
Semalam, tular kenyataan Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA bertindak membuat laporan polis terhadap Che Ta yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.
Menerusi laporan polis yang dibuat, Diva AA menyifatkan kenyataan yang ditujukan kepadanya adalah berunsur fitnah hingga merosakkan imej dan reputasinya sebagai seorang anak seni.
Dalam satu laporan media sebelum ini menyebut, Diva AA, 55, bercadang untuk mengemukakan saman berjumlah RM5 juta kepada Che Ta yang didakwa telah memfitnahnya. – K! ONLINE