KUALA TERENGGANU – Biarpun sudah dibenarkan kembali beroperasi sejak kelmarin, kebanyakan pengusaha-pengusaha kedai emas di negeri ini masih ragu-ragu dan mengambil pendekatan untuk terus ‘tutup kedai’.
Tinjauan di Pasar Besar Kedai Payang di sini mendapati kesemua 25 kedai emas yang terdapat di premis tumpuan ramai itu memilih untuk masih tidak beroperasi semalam.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, walaupun terdapat pengumuman kebenaran pembukaan semula 11 sektor perniagaan termasuk kedai emas pada Ahad lalu, maklum balas diberikan oleh agensi kerajaan tempatan termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pula sebaliknya.
“Sebaik dirujuk dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), saya dimaklumkan kedai emas masih belum boleh dibuka kerana kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan populasi dewasa di Terengganu masih belum mencapai 50 peratus.
“Ia membuatkan kami keliru dan ragu-ragu sebelum buat keputusan bersama pengusaha-pengusaha kedai emas lain untuk tidak terburu-buru membuka premis semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan kerajaan sebelum ini membenarkan pembukaan semula 11 jenis aktiviti ekonomi termasuk kedai emas, kedai perabot dan kedai pakaian yang turut meliputi negeri-negeri yang berada pada Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.
Begitupun kemudahan sektor ekonomi tersebut terhad kepada individu yang sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Zakaria mengakui beliau turut dihubungi beberapa pelanggan tetapnya berhubung pembukaan semula kedai emas yang sudah tiga bulan tidak beroperasi, namun ragu-ragu untuk buka balik.- K! ONLINE