AUSTRIA – Pelumba Aprilia Gresini, Aleix Espargaro teruja menyambut kehadiran Maverick Vinales yang akan menjadi rakan sepasukannya pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan.
Kontrak Vinales bersama Yamaha sepatutnya berakhir pada penghujung musim 2022 tetapi pelumba Sepanyol itu membuat keputusan mengejutkan apabila menamatkan kerjasama lebih awal.
Vinales dikatakan kecewa terhadap layanan pasukannya semenjak kehadiran Fabio Quartararo yang cemerlang menghuni tangga teratas selepas meraih empat kemenangan dalam kategori perdana musim ini.
Akibat masalah dalaman itu, ketua pasukan Aprilia, Massimo Rivola mengakui, berminat mendapatkan Vinales dengan syarat pelumba Sepanyol itu tidak terikat kontrak dengan mana-mana pasukan.
Peluang tersebut digunakan sepenuhnya Aprilia untuk menyambar Vinales selepas melihat potensi yang ada pada pelumba berusia 26 tahun itu.
“Kami sangat gembira mengumumkan bahawa Aprilia telah menandatangani Maverick Vinales secara rasmi kerana dia adalah seorang pelumba berbakat dalam kategori perdana.
“Projek kami diperkuatkan dengan nilai yang dibawa oleh Vinales. Sekarang adalah masa tepat untuk kami melakukan perubahan selepas menjadi pasukan pengeluar dalam kelas MotoGP.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk menyediakan semua kemudahan buat Vinales. Saya yakin Espargaro dan Vinales akan membawa keputusan positif buat Aprilia Racing musim depan,” kata Rivola.
Sebagai rekod, Vinales telah meraih sembilan kemenangan MotoGP selain menduduki 13 petak utama dan 28 penamat podium serta dua kali menghuni tempat ketiga carta kejuaraan keseluruhan. – AGENSI