LONDON – Seorang suri rumah di Wirral, England menemui hobi menarik ketika pelaksanaan perintah berkurung Covid-19 dengan menghasilkan koleksi barang kemas diperbuat daripada susu badan, lapor akhbar New York Post, kelmarin.
Alison Hawthorn, 30, memulakan perniagaan online itu sejak tahun lepas selepas bereksperimentasi dengan lebihan susu badannya untuk menghasilkan aksesori yang boleh dipakai.
Menurut Alison, sejak dia memuat naik gambar barang kemas seperti rantai dan cincin yang diperbuat daripada susu badannya, ramai wanita membuat tempahan dengan menghantar susu badan mereka untuk dijadikan perhiasan.
“Ketika perintah berkurung tahun lepas, saya hampir menjadi gila duduk di rumah dan hanya menghadap anak-anak sepanjang hari.
“Jadi saya secara tidak sengaja menemui hobi kreatif ini yang akhirnya bertukar menjadi perniagaan online kecil-kecilan,” ujarnya.
Menurut Hawthorn, bagi menghasilkan rantai leher contohnya, dia hanya menggunakan 10 mililiter susu badan melalui kaedah pendidihan berganda. – Agensi