BUKIT KAYU HITAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebanyak 17,000 liter diesel dan petrol di sebuah stor haram di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Cawangan Kubang Pasu, K. Muniandy berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 11.30 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia 57 tahun dipercayai bertindak sebagai penjaga stor haram tersebut.
Katanya, risikan mendapati stor haram berkenaan disyaki dijadikan lokasi penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi untuk lori-lori kargo dari Thailand sejak tiga minggu lalu dan rampasan hari ini melibatkan sebanyak 15,000 liter diesel dan 2,000 liter petrol dianggarkan bernilai RM40,000.
“Kesemua diesel dan petrol dirampas kerana siasatan mendapati mereka tidak mempunyai lesen untuk menyimpan barangan tersebut di kawasan ini,” katanya di lokasi serbuan di sini hari ini.
Menurutnya, lori-lori kargo dari negara jiran dipercayai akan datang ke situ untuk mengisi minyak sebelum kembali ke negara mereka setelah membuat penghantaran barang di lokasi tertentu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929