WELLINGTON – New Zealand mencatat kes tempatan pertama Covid-19 dalam tempoh enam bulan semalam sekali gus mencetuskan usaha untuk mengesan asal-usul jangkitan ketika pegawai-pegawai membincangkan tindak balas yang perlu dilakukan.
Jabatan kesihatan menyatakan, jangkitan itu dikenal pasti di bandar terbesar New Zealand, Auckland sambil menambah, ‘kaitan antara kes tersebut dan kawalan sempadan atau pengurusan kuarantin masih belum diketahui’.
Barisan menteri bermesyuarat semalam untuk menentukan tindakan yang akan dilaksanakan berhubung kes dalam komuniti pertama di New Zealand itu sejak 28 Februari lalu.
“Tindakan awal dan keras adalah cara terbaik untuk mengatasi risiko penyebaran dan semua orang di New Zealand diminta untuk bertenang, bersikap baik dan memainkan peranan mereka sementara kami mengumpulkan lebih banyak maklumat mengenai kes ini,” kata jabatan kesihatan.
Bagaimanapun, perincian lebih lanjut mengenai kes itu tidak didedahkan.
New Zealand mendapat pujian meluas kerana tindak balasnya mengawal penularan koronavirus. Negara itu mencatat hanya 26 kematian dalam populasi seramai lima juta orang.
Bagaimanapun, kempen vaksinasinya agak perlahan dengan sekitar 20 peratus sahaja penduduknya telah mendapat pelalian penuh.
Auckland beberapa kali melaksanakan penutupan singkat akibat Covid-19 sejak perintah berkurung di seluruh New Zealand yang dikuatkuasakan tahun lalu, berjaya mengekang penularan virus tersebut.
Arahan duduk di rumah terbaharu yang dilaksanakan di bandar raya itu berakhir pada Mac lepas. – AFP