GUA MUSANG – Polis mengesahkan bahawa tiada peningkatan kenderaan masuk ke Kelantan selepas kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi individu yang lengkap dua dos vaksin dilaksanakan sejak seminggu lalu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pemerhatian di sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tanah Putih di sini mendapati, jumlah kenderaan masuk ke Kelantan tidak ketara sejak 10 Ogos lalu meskipun kelonggaran rentas negeri dibenarkan.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan, kebanyakan pengguna jalan raya terdiri daripada pasangan suami isteri jarak jauh dan mereka mempamerkan sijil digital lengkap vaksinasi.
“Setakat ini, kita tidak menemui sebarang keraguan terhadap sijil digital vaksin Covid-19 dan dokumen berkaitan yang dikemukakan oleh pengguna jalan raya.
“Perkembangan itu menunjukkan orang ramai semakin sedar dan mematuhi SOP apabila tidak membuat sebarang pergerakan rentas negeri atas urusan yang tidak penting,” katanya kepada pemberita selepas meninjau SJR Kampung Tanah Putih di sini hari ini.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929