SHAH ALAM – Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menyerahkan 3,000 set Personal Protective Equipment (PPE) kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi petugas-petugas yang akan menguruskan jenazah pesakit Covid-19.
Sumbangan PPE itu terdiri daripada PPE Coveral Jumpsuit, pelindung muka, pelitup muka N95, sarung tangan dan apron bernilai keseluruhan RM104,640.
Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd. Razali Abdullah berkata, sumbangan PPE itu merupakan sumbangan kali kedua dengan kali pertama diserahkan sebanyak 1,000 set bernilai RM21,360 pada 19 Julai lalu.
“Ini bagi memudahkan dan membantu kelengkapan petugas-petugas yang akan menguruskan jenazah pesakit Covid-19.
“YIDE mengucapkan terima kasih kepada semua petugas di bawah seliaan JAIS yang telah menyempurnakan amanah ini sebaik mungkin demi tuntutan fardhu kifayah walaupun perlu menjawab tohmahan yang dilemparkan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sumbangan set PPE tersebut diserahkan kepada Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan.
Mengulas lanjut, Nur. Mohd. Razali memberitahu, pihaknya menghargai sumbangan orang ramai melalui Tabung Dana Musibah YIDE bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Setiap sumbangan layak mendapat perlepasan cukai di bawah subseksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967 melalui resit rasmi Yayasan Islam Darul Ehsan.
“Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh melayari https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/ atau terus membuat pindahan online melalui Bank Islam YIDE bernombor : 1223 40100 07330,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929