fbpx

3 lagi anggota ‘Geng Sakai’ didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga lagi anggota kumpulan ‘Geng Sakai” didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh iaitu Sukhadave Singh Jesvir Singh, 20, R.Logeswaran, 23, dan A. Jayaprakesh, 18, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.

Pengakuan akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kerana pertuduhan melibatkan kes keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), bukan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Sakai’ di Flat Seri Selangor, Jalan San Peng di sini pada Januari 2015 hingga 20 Jun lalu yang didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Farhan Aliff Ahmad, Nur Ainaa Ridzwan, Maryam Jamielah Manaff dan Rajdeep Singh Bhupinder Singh manakala hanya tertuduh Logeswaran diwakili peguam R. Kirthiraj.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes ketiga-tiga tertuduh termasuk 19 lelaki yang pernah dituduh sebelum ini untuk kes dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Pada 13 Julai lalu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki yang dipercayai ketua kumpulan ‘Geng Sakai’ merupakan antara 19 individu yang didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Rosli Sahak yang dikenali sebagai Sakai bersama 18 yang lain berusia 18 hingga 47 tahun menyatakan faham di hadapan Hakim M. M. Edwin Paramjothy.

Mereka ialah Mohamad Faisal Mohamad Sharif, A. Ravindran, A. Uthayakumar, S. Sathiaseelan, T. Kumar, A. Kumaresan, N. Tanasilan, Thirumal Raj, M. Darshan, A. Dineswaran, S. Mohanraj dan R. Nantha Kumar.

Tertuduh lain, S. Gobinath, M. Ravishankar, M. Thinesh, N. Tannish, S. Sagadevan dan G. Sivanamtham.

Sebelum itu, pada Jun lalu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng Sakai.

Kumpulan yang aktif melakukan jenayah sejak tahun 2012 di sekitar ibu negara itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dikenali sebagai Sakai.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, keahlian kumpulan tersebut dianggarkan seramai kira-kira 50 orang. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI