NASIB pelumba pelapis negara untuk beraksi dalam kancah perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan tampak kelam selepas Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengumumkan perpisahan dengan pasukannya, Sepang Racing Team (SRT).
SIC mengakui, pihaknya terpaksa melepaskan pasukan SRT untuk bergerak secara pasukan Independent, selain mengesahkan pasukan Moto3 dan Moto2 juga bakal berakhir.
Keputusan tersebut sudah pastinya menjejaskan harapan pelumba berbakat negara, Adam Norrodin dan Syarifuddin Azman untuk menempa nama ke perlumbaan berprestij MotoGP.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya sedang merangka perancangan buat pelumba pelapis negara dan penglibatan mereka dalam perlumbaan MotoGP pada masa akan datang.
“Pihak SIC menerima keputusan yang dibuat oleh Petronas yang mana mereka tidak akan sambung kontrak bersama pasukan SIC pada tahun depan.
“Ini bermakna, pasukan di bawah kendalian Datuk Razlan Razali iaitu SRT akan bergerak secara Independent.
“Bagi pelumba muda yang berpeluang ‘melompat’ ke MotoGP iaitu Adam dan Damok ke Moto3 dan Moto2, ketika ini kita mahu mereka fokus dalam saingan dan habiskan perlumbaan CEV terlebih dahulu. Hujung tahun ini kita akan rangka perjalanan mereka,” katanya semalam.
Ketua pasukan SRT, Datuk Razlan sebelum ini mendedahkan, pihaknya akan mengumumkan perancangan mereka sebelum perlumbaan di Silverstone.
Sebelum ini, Razlan memberi jaminan pelumba pelapis negara yang beraksi cemerlang di perlumbaan CEV akan diberi slot untuk beraksi dalam MotoGP.