fbpx

Kedai gunting, cuci kereta kena serbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pekerja RB Corner sedang mencuci kereta pelanggannya di Taman Sepakat Ulu Klang, semalam.

KUALA LUMPUR – Orang ramai menyerbu kedai gun­ting rambut dan kedai cuci kende­raan selepas dua aktiviti sektor ekonomi yang berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu dibenarkan beroperasi mulai semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata pelanggan sanggup menunggu seawal pukul 9 pagi bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut biarpun kedai dibuka sejam selepas itu.

Di Gombak, seorang pelanggan, Muhammad Amirul Hafiz Mohd. Ishak, 27, berkata, dia bersyukur dapat menggunting rambut yang sudah mencecah paras bahu selepas dua bulan tidak dapat berbuat demikian.

“Saya sudah rimas dan selalu berharap kedai gun­ting cepat dibuka, Alhamdulillah kini sudah boleh gunting rambut. Kalau masih ditutup rasanya boleh ikat rambut.

“Tipulah kalau rasa tidak bimbang jangkitan Covid-19 lebih-lebih lagi kes sedang mencanak naik tetapi lega sebab saya sudah lengkap dua dos imunisasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pe­langgan kedai cuci kereta, Mohd. Norizzuddin Abdul Rashid, 30, memberitahu, dia tidak melepaskan peluang untuk mencuci kereta selepas hampir tiga bulan tidak dapat berbuat demikian.

“Saya nekad datang seawal pagi untuk mencuci kereta, terlalu berhabuk dan rasa tidak selamat untuk bawa anak-anak,” ujarnya.

Tidak terhad di situ, pemilik kedai cuci kereta RB Corner, Mohd. Firdaus Mohd. Rozis, 29, turut menerima tempias apabila orang ramai mula mengunjungi premisnya berkenaan seawal pukul 9 pagi.

“Terkedu melihat ramai yang menunggu kedai dibuka, jika sebelum ini kira-kira 50 hingga 100 kenderaan sehari tetapi mungkin hari ini (semalam) saya boleh dapat hampir 300 kenderaan.

“Setiap kenderaan yang dicuci akan disembur sanitizer sebelum diberikan kepada pelanggan,” ujarnya yang memberitahu 15 orang pekerjanya telah lengkap dua dos imunisasi.

Sementara itu, di Seremban, M. Tamil Selvan, 24, berkata, dia teruja apabila dimaklumkan kedai gun­ting rambut dibenarkan ber­operasi dan tidak lepaskan peluang untuk memperkemaskan diri.

Tamil Selvan mendapatkan khidmat gunting rambut di Dominic Barber Shop di Sikamat, Seremban semalam.

Seorang pemilik kedai gun­ting rambut yang mahu dikenali sebagai Joanne, berkata, lebih 15 pelanggan datang ke premisnya sejak dibuka pada pukul 11 pagi hingga 4 petang semalam.

“Bagaimanapun, ada pelanggan yang terpaksa pulang dengan hampa kerana saya hanya membenarkan mereka yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin kerana tidak mahu ambil risiko,” ujarnya.

Di Shah Alam, Pengurus Kilat Car Wash, Amirul Shahdan Amir, 25, berkata, dia sebelum ini terpaksa jual dua buah kereta dan sebuah motosikal bagi memastikan kelangsungan pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja.

Dia turut mengakui hampir berputus asa dalam meneruskan perniagaan yang diusahakan sejak lebih enam tahun lalu.

“Saya rugi lebih RM30,000 sebulan apabila Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa 1 Jun lalu. Namun, apabila mengenang ini sahaja punca rezeki ditambah bakal menimang cahaya mata pertama Oktober ini menyebabkan saya meneruskan semangat untuk beroperasi,” katanya ketika ditemui di kedainya di Seksyen 13, di sini semalam.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI