PONTIAN – Kedatangan bulan Ogos pada setiap tahun sememangnya dinantikan sepasang suami isteri yang pastinya akan menghiasi rumah mereka dengan bendera Jalur Gemilang bagi meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.
Tujimah Sidek, 58, berkata, bapanya, Allahyarham Sidek Mangon telah ‘mewasiatkannya’ supaya memasang bendera Malaysia apabila tibanya sambutan tersebut.
Menurutnya, dia bersama suami, Shamsi Samuri, 56, mula memasang bendera dan hiasan lain yang turut dibantu anak-anak serta menantu mereka yang juga mempunyai kesungguhan untuk meraikan kemerdekaan.
“Saya akan terus menunaikan pesanan arwah bapa dan mendidik anak-anak supaya meneruskan tradisi ini sampai ke anak cucu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 35 di sini baru-baru ini.
Tujimah memberitahu, setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan, dia dan suaminya akan membelanjakan kira-kira RM1,000 hingga RM1,500 untuk membeli bendera, lampu, kain rentang dan lain-lain.
Ujar Tujimah, memandangkan suaminya tidak dapat melakukan kerja-kerja mengurut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka mereka tidak dapat membeli bendera baharu yang banyak kali ini.
Sementara itu, Shamsi pula menyifatkan ketibaan bulan Ogos tidak akan sempurna tanpa memasang bendera walaupun sehelai sebagai tanda kasih kepada negara.
Menurutnya, aktiviti memasang ratusan bendera Jalur Gemilang dan negeri Johor pelbagai saiz itu telah dilakukan sejak tahun 2009 ketika mereka tinggal di Parit Wakaf, Kampung Tenggayun.
“Pada tahun ini, kami jangka dapat memasang kira-kira 800 helai bendera selain pemasangan lampu pada waktu malam bagi menambahkan keceriaan suasana bulan kemerdekaan.
“Sebelum ini, kami telah menerima pelbagai anugerah di peringkat daerah dan negeri selepas rumah kami memenangi pertandingan memasang bendera Jalur Gemilang.
“Kami langsung tidak akan memikirkan soal kos pembelian bendera dan sebagainya, sebaliknya kami gembira dapat menyumbang sesuatu kepada negara,” ujarnya.-K! ONLINE