fbpx

APMM usir 9 bot Indonesia ceroboh perairan Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah bot nelayan Indonesia yang memasuki perairan Pulau Pinang diusir kelmarin.

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang mengusir sembilan buah bot nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara ini dalam tempoh tiga hari pada Khamis hingga kelmarin.

Kesemua bot itu diusir Kapal Maritim Kimanis yang melaksanakan rondaan Ops Benteng/Ops Tanjung di sekitar Pulau Kendi dekat sini.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot pertama bersama empat kru termasuk tekong diusir sekitar 28 batu nautika barat daya Pulau Kendi kira-kira pukul 2.30 petang pada Khamis.

Menurutnya, pada keesokan harinya sekitar pukul 12.30 tengah hari, lima buah bot nelayan bersama 15 kru dikesan dan telah diusir keluar pada kedudukan di antara 55 ke 59 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

“Kelmarin, tiga buah bot nelayan asing dikesan dan diusir keluar pada kedudukan 43 batu nautika barat daya Pulau Kendi sekitar pukul 4.20 petang.

“Kesemua bot itu diusir secara membayangi sehingga ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abd. Razak, pengusiran nelayan asing itu merupakan tindakan semasa dalam mencegah dan mengekang penularan Covid-19 khususnya melalui kes import yang dibawa oleh warga asing.

Beliau berkata, orang awam dan komuniti maritim diminta bekerjasama membanteras aktiviti jenayah dan kemasukan pendatang asing tanpa izin dengan menyalurkan maklumat ke talian NTF 011-6251 1123 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI