fbpx

Sisi berbeza, mencabar Floor 88

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN Floor 88.

SEBUT sahaja berkenaan hutang, pasti bait-bait lirik lagu yang dibawakan kumpulan anak muda terkenal Floor 88 akan terngiang-ngiang dalam benak fikiran.

Masakan tidak, lagu ‘berhantu’ tersebut bukan sahaja menjadi siulan anak muda, malah turut diminati semua lapisan peringkat umur.

Mula meraung dari corong radio bermula 2019, single Hutang karya komposer Zai Hamzah dan Harry Khalifah tersebut berjaya menduduki dan mendominasi carta radio selama berbulan-bulan lamanya.

Bukan itu sahaja, muzik video rasmi lagu Hutang yang dimuat naik pada tanggal 29 Julai dua tahun lalu turut merekodkan pencapaian membanggakan dengan angka melebihi 75,000 tontonan dalam YouTube.

Terbaharu, Floor 88 mencabar diri dengan terjun dalam bidang lakonan menerusi filem bergenre aksi komedi berjudul Hutang 2D yang diadaptasi daripada lagu dendangan mereka, Hutang.

Menjalani penggambaran ketika negara berdepan dengan situasi pandemik Covid-19 yang begitu mencabar, filem tersebut akhirnya berjaya diluncurkan buat tatapan para penonton menerusi saluran Astro bermula 5 Ogos lalu.

Hutang 2D berlatarkan kehidupan remaja dan menggunakan perumahan flat sebagai latar tempat merupakan cabaran terbesar buat pihak produksi sepanjang penggambaran dilakukan.

KUMPULAN Floor 88 terpaksa melupakan seketika hasrat untuk meluncurkan album studio perdana mereka kerana kekangan pandemik yang masih berlarutan sehingga kini.

Potong rambut

Bercerita pengalaman, vokalis Floor 88, Ayie Elham yang mendukung watak utama dalam Hutang 2D pada asalnya agak berat hati dan tidak sanggup untuk menjayakan watak diberikan.

Kongsi Ayie, dia benar-benar terkejut apabila pada saat akhir diberitahu pihak produksi dan pengarah yang memintanya untuk memotong rambut hingga pendek.

“Jujur pada mulanya saya memang berat hati untuk potong dan korbankan rambut. Saya diberitahu pun pada hari ketiga penggambaran secara spontan.

“Mulanya saya fikirkan permintaan itu hanya sebagai prank (gurauan), tapi memang benar-benar dan bukan main-main.

“Kalau ikutkan, saya memang suka bela rambut panjang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sebab zaman sekolah dah puas botak dan berambut pendek,” katanya membuka bicara.

Ujar Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah, 24, dia akhirnya reda dan merelakan mahkota kesayangannya dipotong pendek demi komitmen lakonan.

Mengulas sedikit mengenai wataknya yang masih menggunakan nama asalnya, Ayie memberitahu karakter watak tersebut menuntut penampilan seorang remaja yang tiada keyakinan diri.

“Ayie (watak lakonan) merupakan seorang remaja yang dibesarkan di kawasan rumah flat dan mempunyai impian besar untuk menjadi seorang pelukis animasi.

“Dalam Hutang 2D, dia seorang yang kurang keyakinan diri tetapi dengan bakat melukis yang dianugerahkan kepadanya, dia cuba mengubah hidup dan nasib keluarga.

“Paling menarik, Ayie juga ada satu kuasa superhero dan keajaiban yang dia sendiri tidak pernah tahu ada dalam dirinya,” ujarnya yang memberitahu filem tersebut turut menyuntik elemen kekeluargaan dan persahabatan.

AYIE mengakui perlu lebih banyak mendalami ilmu lakonan walaupun pernah menjayakan beberapa watak sebelum ini demi watak dalam Hutang 2D.

Jadi pengarah

Bagi pemain keyboard Floor 88, Eric Fuzi yang turut berperanan sebagai pengarah bersama, peluang berkongsi kreativiti bersama sutradara Irwan Rauf merupakan satu kepercayaan yang sudah diidam-idamkan selama ini.

Eric yang memulakan kerjaya dalam bidang seni sebagai pelakon kanak-kanak berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk mengarahkan rakan-rakannya berlakon di set penggambaran.

“Anggota kumpulan Floor 88 memang nampak nakal tapi itulah karakter masing-masing tapi kami ialah orang yang bekerja keras.

“Mereka bukan kawan-kawan tetapi adik-beradik, walaupun ada empat anggota Floor 88 yang lebih tua daripada saya tapi mereka semua faham tentang komitmen dan watak masing-masing.

“Ini adalah projek besar untuk Floor 88. Memandangkan sekarang nak buat persembahan pun tak boleh, saya harap filem ini dapat mengubati rindu peminat terhadap Floor 88,” ujarnya.

Tambah Eric, dia dan rakan-rakan menyimpan hasrat agar filem tersebut dapat diterima dan membuatkan penonton terhibur di samping menyampaikan mesej kepada masyarakat.

“Ketika pandemik melanda dunia dan ramai terkesan serta hidup tertekan, filem ini sedikit sebanyak dapat membantu menghilangkan tekanan perasaan.

“Saya pasti Hutang 2D ini amat dekat dengan kita semua dan merupakan naskhah ringan serta santai selain sesuai ditonton seisi keluarga,” katanya.

Hutang 2D turut menampilkan beberapa penampilan dalam kalangan pelakon hebat lain temasuk Ropie, Altimet, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Black Hanafiah dan Baby Shima.

IMPIAN Eric untuk terlibat dalam kerja-kerja pengarahan tercapai apabila diberi peluang keemasan untuk duduk sebagai pengarah bersama dalam naskhah filem, Hutang 2D.

Tergendala

Manusia merancang, Tuhan menentukan. Itu pepatah paling cocok buat semua ahli kumpulan Floor 88.

Perancangan mereka untuk mengeluarkan album penuh pada tahun ini nampaknya terpaksa dilupakan memandangkan pandemik masih tidak menunjukkan petanda untuk segera reda.

Jelas Ayie, kalau diikutkan perancangan awal, mereka akan meluncurkan sebuah album yang merangkumkan pelbagai material terbaharu sebagai hadiah dan tanda penghargaan buat peminat.

“Disebabkan pandemik yang masih belum reda, semua kerja jadi tergendala. Bab lagu dan proses rakaman tidak menjadi masalah sangat.

“Cabaran terbesar adalah tidak dapat lakukan penggambaran luar bagi video muzik untuk setiap lagu yang dirakamkan,” katanya yang bersepakat untuk menunda seketika niat melancarkan album tersebut.

Dalam perkembangan lain, Floor 88 juga sedang mengumpul material bagi single seterusnya selain Ayie dan Eric yang turut memfokuskan perniagaan makanan yang mereka usahakan di Masok Foodcourt, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

HUTANG 2D menampilkan lakonan semua ahli kumpulan Floor 88 dengan sisi berbeza daripada karakter asal mereka.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI