PETALING JAYA – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Agensi Nuklear Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi semalam memeterai penjanjian persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam pelaksanaan dua projek penyelidikan berasaskan sawit menggunakan teknologi sinaran selain bagi projek lain yang berpotensi pada masa depan.
MoU berkenaan merupakan langkah permulaan dan akan bertindak sebagai payung bagi kerjasama pelaksanaan projek penyelidikan di antara MPOB dan Agensi Nuklear Malaysia.
Projek pertama melibatkan penyelidikan bersama dalam poliol sawit dan bio-poliol poliester untuk penghasilan penyerakan poliuretana akrilat berasaskan air bagi penghasilan bahan salutan termaju menggunakan teknologi sinaran.
Sementara projek kedua pula adalah penyelidikan bersama dalam poliol sawit dan bio-poliol poliester
untuk penghasilan resin fotopolimer bagi penghasilan pencetakan perancah 3D untuk kejuruteraan tisu dalam aplikasi biomedik menggunakan teknologi sinaran.
Ketua Pengarah MPOB, Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB mempunyai teknologi dan kepakaran untuk menghasilkan poliol berasaskan sawit serta bio-poliol poliester dan MoU berkenaan akan menambah kemahiran pegawai penyelidiknya untuk pembangunan lestari menggunakan teknologi sinaran.
“Projek ini merupakan penerokaan baharu untuk poliol sawit dan bio-poliol poliester dan produk yang akan dihasilkan adalah lebih mesra alam.
“Ia juga membuka peluang pengkomersialan bagi produk berasaskan sawit yang menggunakan teknologi sinaran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Siti A’iasah Hashim berkata, beliau berharap hasil kerjasama penyelidikan itu dapat mencetuskan industri baharu yang boleh menyokong usaha ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi yang mapan.
“Keadaan semasa negara yang sedang berusaha menangani pandemik Covid-19 diharap tidak akan menjejaskan dan menangguhkan aktiviti yang dirancang agar objektif projek yang telah ditetapkan dapat dicapai sepenuhnya,” katanya.