fbpx

Mayat warga emas ditemui dalam rumah berkunci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pihak berkuasa mengangkat membungkus mayat warga emas tersebut.

SEREMBAN – Mayat seorang warga emas wanita ditemui terbaring dalam sebuah rumah berkunci di Garden Homes, Seremban 2 di sini hari ini.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Kamarulzaman Md Salleh berkata, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 10.11 pagi.

“Sebaik tiba, pihak bomba bertindak menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu rumah mangsa yang berkunci dan menemui seorang wanita warga emas terbaring berdekatan pintu bilik air.

“Berdasarkan maklumat daripada jiran, warga emas berusia 60-an itu tinggal seorang diri dan sudah beberapa hari tidak kelihatan keluar dari rumah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Kamarulzaman, jiran yang risau dengan keadaan mangsa telah menghubungi pihak bomba yang membawa kepada penemuan mayat warga emas tersebut.

“Pihak perubatan yang berada di lokasi mengesahkan warga emas itu telah meninggal dunia. Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kematian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kematian diklasifikasi sebagai mati mengejut. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI