SHAH ALAM – Kelicikan seorang ketua penyangak bergelar ‘Datuk Ken’ meraih pendapatan jutaan ringgit termasuk memiliki 14 unit masing-masing kereta mewah dan rumah banglo hasil pendapatan haram sejak tujuh tahun lalu berakhir apabila diberkas baru-baru ini.
Suspek utama berusia 40 tahun itu ditangkap bersama isteri, 41 tahun di Rawang pada 11 Ogos lalu.
Turut ditahan terdahulu adalah 13 ahli sindiketnya berusia 17 hingga 40 tahun pada 6 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kemewahan diperolehi lelaki bergelar Datuk itu hasil aktiviti perjudian dalam talian, pelombongan bitcoin dan ah long yang dilakukan secara berperingkat bermula 2014 hingga tahun lalu.
Katanya, kesemua ahli sindiketnya pula meraih pendapatan antara RM2,500 hingga RM8,000 mengikut peranan dan jawatan masing-masing dan telah dituduh pada 9 Julai mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di Mahkamah Selayang.
“Berdasarkan keterangan dan maklumat risikan, Jabatan Siasatan Jenayah ( JSJ ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman kemudiannya melakukan penangkapan ketua sindiket dan isterinya itu.
“Hasil siasatan ketua sindiket itu mempunyai kaitan dengan 24 buah syarikat lain bagi mencuci wang hasil haram itu,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Beliau memberitahu, hasil penangkapan itu merampas dan menyita 14 unit kereta mewah seperti Lamborghini Huracan, BMW 8i, Nissan GTR dan Porsche Cayman.
Selain itu, 14 lagi unit rumah banglo dengan kesemuanya diletakkan atas pelbagai nama individu lain bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kita turut menyita tiga buah unit rumah kedai, wang tunai termasuk mata wang asing serta pembekuan 71 akaun bank dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah hampir RM33 juta.
“Semakan mendapati ketua sindiket dan isterinya tiada mempunyai sebarang rekod lama,” katanya.
Beliau menegaskan, sindiket ini tiada kaitan dengan jenayah dilakukan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang kini dalam buruan polis. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929