TELUK INTAN – Dua ahli Parti Amanah Negara (Amanah) didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan kerana menyebabkan kecederaan serta menggunakan jenayah kekerasan antara satu sama lain.
Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.
Tertuduh, Safarizal Saleh, 43, didakwa menyebabkan kecederaan pada Naib Ketua Wanita Amanah Teluk Intan, Zulaiha Mohd Azam, 32, tahun lalu. Safarizal adalah Ahli Jawatankuasa Amanah Perak.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Jalan Changkat Jong di sini kira-kira pukul 9.30 malam pada 14 Oktober 2020.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Zulaiha turut didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menggunakan jenayah kekerasan terhadap Safarizal. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada lokasi, masa dan tarikh yang sama.
Dia yang diwakili peguam Tejal Harash didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara, denda atau kedua-dua sekali sekiranya bersalah.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929