JOHOR BAHRU – Jumlah kedatangan pesakit Covid-19 yang tinggi ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini sejak awal bulan ini menjadi punca mereka terpaksa ditempatkan di dalam khemah di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, pihak pengurusan hospital telah mengambil tindakan bagi mengatasi limpahan pesakit Covid-19 yang memerlukan kemasukan ke wad.
“Merujuk kepada isu tular di laman Facebook tentang situasi pesakit Covid-19 yang dirawat di dalam khemah di luar Jabatan Kecemasan dan Trauma berpunca akibat jumlah kedatangan pesakit Covid-19 yang tinggi dua minggu kebelakangan ini.
“Pihak pengurusan HSIJB telah mengambil tindakan bagi mengatasi limpahan pesakit Covid-19 yang memerlukan kemasukan ke wad.
“Tindakan pemantauan berterusan dan langkah penambahbaikan akan sentiasa diperkukuhkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini tular di media sosial berhubung keadaan pusat kuarantin pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di dalam khemah.
Pada April tahun lalu, HSI dilaporkan telah mendirikan sebuah khemah tertutup dilengkapi penyaman udara di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma bagi menambah baik Pusat Saringan Covid-19 yang juga disebut ‘Kem Covid’ dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan antara perawat dan pesakit. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929