KUALA LUMPUR – “Kalau orang ingin berubah, saya bukan Tuhan untuk berkata tidak kepada perubahan itu,” demikian kata penyanyi rap wanita, Loca B yang mengesahkan sudah kembali berbaik dengan kekasihnya, Tuju K-Clique.
Loca atau nama sebenarnya, Hani Azali, sebelum ini, membuat pengakuan pernah dikasari Tuju sehingga mengalami lebam-lebam anggota badan.
Tidak lama kemudian, dia menarik semula dakwaan terbabit. Perkara tersebut dinyatakan menerusi akaun Instagramnya.
“Kami sudah berbaik semula dan alhamdulillah, pada sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hubungan kami semakin memulih.
“Setiap orang tidak terlepas daripada kesilapan dan saya percaya, setiap orang ada sisi gelap masing-masing. Apa yang kami alami bukan sahaja boleh berlaku dalam perhubungan romantik, ia boleh berlaku pada sesiapa sekali termasuk keluarga dan sebagainya,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.
Loca ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Gila yang menyaksikan kolaborasinya dengan penyanyi Kaka Azraff dan penyanyi rap Noki. Lagu tersebut merupakan ciptaan bersama Noki, Loca dan Ezra Kong.
Dalam pada itu, Loca turut mendedahkan bahawa dia dan Tuju ada bertemu dengan pakar psikiatri untuk mendapatkan bantuan profesional tentang masalah yang dihadapi, sekali gus menyelamatkan hubungan cinta mereka.
“Dia (Tuju) sudah jumpa pakar psikiatri dan tiada masalah berkaitan penyakit bipolar atau serius menjurus ke arah itu. Satu benda yang saya boleh kongsi, saya dan Tuju banyak kali berbincang tentang arah tujuan hubungan kami dan ada perkara yang tidak nampak di mata orang.
“Tidak kisahlah orang cakap hubungan cinta kami toksik atau apa sekalipun, mereka tidak nampak apa yang saya nampak dalam diri Tuju. Tentang masa depan dan posisinya sebagai bakal suami dan insya-Allah, bapa kepada anak-anak kami suatu hari nanti,” jelas Loca.
Ditanya sama ada dia dan Tuju sudah mempunyai perancangan untuk berganjak ke arah perkahwinan dalam masa terdekat, jawab Loca: Kalau ada apa-apa, saya akan umumkan.”
Terdahulu, pada Mac lalu Loca menerusi Instagramnya berkongsi beberapa foto dan video menunjukkan anggota badannya lebam akibat dikasari teman lelakinya itu.
Ekoran status dan perkongsian Loca yang didakwa mengaibkan namanya dan berbaur fitnah, Tuju kemudian membuat satu laporan polis.
Sebulan kemudian, Loca mendedahkan sudah berpisah dengan teman lelakinya itu. – K! ONLINE