LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel percaya skuad kendaliannya mampu muncul antara pasukan pencabar kejuaraan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
The Blues memulakan saingan musim baharu dengan aksi cukup meyakinkan apabila mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Crystal Palace pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge kelmarin.
Tiga gol menerusi jaringan Marcos Alonso, Christian Pulisic dan Trevoh Chalobah menyaksikan mereka mengutip tiga mata untuk memulakan kempen dengan langkah kanan.
“Kami mesti mulakan ‘pemburuan’ ini sejak hari pertama kerana hanya menerusi cara itu kami boleh capai keputusan yang diinginkan. Bagaimanapun, pada ketika ini kami bukanlah pasukan pilihan.
“Chelsea menamatkan saingan musim lalu di kedudukan keempat, jadi kami perlu rapatkan jurang dengan pasukan ketiga terlebih dahulu. Itulah yang sedang kami lakukan sekarang,” kata Tuchel.
Tambah bekas jurulatih Borussia Dortmund itu lagi, mereka perlu meletakkan standard yang tinggi terhadap diri sendiri sekiranya mahu mencabar kejuaraan liga pada musim ini.
“Kami perlu tetapkan standard pada tahap tertinggi. Kami bermain sangat baik hari ini (kelmarin) sama ada ketika bertahan mahupun menyerang. Saya sangat gembira dengan aksi semua pemain,” ujarnya. – AGENSI