ALOR SETAR – Seramai 16 warga asing daripada etnik Rohingya yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia dan pemalsuan dokumen ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar Alor Setar, kelmarin.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan Op Pintas hasil maklumat awam bermula kira-kira pukul 7.30 malam itu turut merampas beberapa dokumen palsu berkaitan aktiviti tersebut yang dipercayai turut didalangi warga tempatan.
“Hasil siasatan awal mendapati setiap migran dikenakan bayaran RM30,000 bagi membantu mereka memasuki sempadan negara dan RM2,000 untuk urusan perjalanan serta penyediaan dokumen palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita yang ditangkap berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun manakala dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun yang ditahan merupakan anak kepada suspek.
“Mereka ditahan di bawah siasatan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” ujarnya.
Beliau berkata, sindiket itu dipercayai mampu mengaut keuntungan lebih setengah juta ringgit dan telah bergiat aktif di utara tanah air sejak Januari lalu.
“Penahanan semua suspek itu berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan manusia dari negara jiran,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 26A dan Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Beliau pada masa sama mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu tampil menyalurkan maklumat di talian 04-7741275 atau MERS 999 – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929