Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip sebanyak RM3.85 juta hasil pembayaran saman menerusi pelaksanaan pengurangan saman kompaun 70 peratus setakat 15 Ogos lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, hasil pembayaran saman itu diterima daripada seluruh kaunter JPJ, Kaunter Bergerak JPJ Mobile, Portal dan kiosk JPJ membabitkan 51,178 transaksi saman.
Menurutnya, kutipan hasil itu adalah selaras pelaksanaan pengurangan saman yang boleh dikompaun sebanyak 70 peratus yang mula dilaksanakan 1 Ogos lalu.
“JPJ Negeri Selangor adalah yang tertinggi membuat kutipan iaitu sebanyak RM620,157 dengan 8,165 saman berjaya diselesaikan.
“Sehingga kini, jumlah saman yang tertunggak dan masih belum dijelaskan adalah sebanyak 2,404,353 dengan anggaran kutipan selepas pengurangan adalah RM170 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, jumlah terkumpul bagi saman yang telah disenarai hitam pula adalah 1,794,700 saman.
Pada masa sama, Shaharuddin mengingatkan orang ramai supaya merebut peluang bagi mendapatkan pengurangan saman kompaun sebanyak 70 peratus dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelak sebarang kesulitan yang tidak diingini.
Menurutnya, saman yang yang tidak dibayar akan disenarai hitamkan dan kesannya akan menimbulkan masalah ketika berurusan dengan JPJ seperti pembaharuan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor, proses tukar hak milik serta lain-lain lagi.
“Pengurangan saman kompaun JPJ yang bermula 1 Ogos sehingga 31 Ogos 2020 ini adalah bersempena dengan bulan kebangsaan dan selaras dengan tema hari kebangsaan 2020 iaitu Malaysia Prihatin.
“Pengurangan saman ini juga hanya diberikan bagi kes saman termasuk kesalahan Automated Awareness Safety System (AWAS), tujuh kesalahan utama, OPS Perayaan dan saman lain yang boleh dikompaun,” katanya. -K! ONLINE