fbpx

Jenazah Sharif Mohd Siddiq selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsudin menyerahkan bendera TUDM dan Jalur Gemilang kepada Shima sebagai tanda penghormatan kepada jenazah.

KUCHING – Jenazah salah seorang daripada empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam kejadian tembak Jumaat lalu (13 Ogos) telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Siniawan di sini pagi tadi (15 Ogos).

Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, 29, telah menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 9.15 pagi semasa sedang menerima rawatan di Pusat Jantung Sarawak (PJS) Kota Samarahan pada hari kejadian.

Jenazah mangsa telah tiba di tanah perkuburan pada pukul 9.15 pagi tadi diiringi pegawai dan anggota TUDM yang lain.

Upacara pengkebumian jenazah dilaksanakan dengan istiadat ketenteraan dalam keadaan cuaca mendung dan hujan gerimis.

Isteri arwah, Shima Mustapha, 29, telah hadir bersama dua anak perempuannya, Sharifah Syafa Syakira, 5, dan Sharifah Syafa Syahirah, 3, manakala anak bongsunya Sharif Edrogan yang baharu berusia sebulan lebih tidak dibawa bersama ke tanah perkuburan itu.

“Ketika saya menerima khabar berita suami saya telah meninggal pada hari kejadian, pada awalnya saya tidak percaya.

“Namun apabila saya telah mendengar nama suami saya disebut, saya redha dengan pemergiannya kerana saya tahu suami saya adalah seorang wira di kem tersebut,” kata Shima kepada pemberita.

Shima ketika menghadiri upacara pengebumian arwah suaminya bersama dua anak perempuannya pagi tadi.

Katanya, walaupun berat, dia kumpulkan kekuatan untuk menemani jenazah suaminya sepanjang perjalanan sehingga ke liang lahad.

Shima turut memberitahu bahawa sebelum bergerak ke tempat kerja pada hari kejadian, arwah Siddiq ada menyatakan hasrat untuk pulang makan tengahari bersama keluarga.

Pada masa yang sama, Panglima Wilayah Udara Dua, Mejar Jeneral Datuk Datuk Shamsudin Kassim yang turut hadir telah menyerahkan bendera TUDM dan Jalur Gemilang kepada Shima sebagai tanda penghormatan kepada jenazah.

Arwah Siddiq adalah antara empat anggota tentera TUDM yang maut dalam kejadian tembak di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM di Kota Samarahan Jumaat lalu (13 Ogos).

Dalam kejadian sekitar pukul 7.15 pagi itu, salah seorang anggota TUDM dipercayai telah menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI