fbpx

Kebenaran melancong ke Langkawi akan dimuktamadkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Cadangan kebenaran melancong ke Pulau Langkawi terhad kepada individu yang telah menerima vaksinasi Covid-19 lengkap akan dimuktamadkan melalui beberapa lagi siri perbincangan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu kini sedang diteliti oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri atas saranan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan pakar-pakar kesihatan.

Beliau berkata, penelitian juga dibuat dengan mengambil kira kadar vaksinasi lengkap penduduk Pulau Langkawi yang perlu mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi.

“Kerajaan sedang meneliti pandangan serta maklum balas daripada pemegang taruh berhubung perancangan untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai projek perintis destinasi gelembung pelancongan.

“Perancangan ini penting untuk kerajaan merancakkan semula industri pelancongan selepas lebih setahun terkesan akibat pandemik,” katanya mengumumkan kemudahan sektor ekonomi dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga mempunyai perancangan untuk melaksanakan pendekatan gelembung pelancongan di lebih banyak destinasi terutamanya yang mempunyai kaedah kawalan pergerakan keluar masuk pelancong yang baik seperti di pulau-pulau peranginan lain di seluruh negara.

Beliau bagaimanapun berkata, perkara itu masih di peringkat perancangan dan kerajaan akan melihat hasil projek perintis Pulau Langkawi terlebih dahulu.

“Jika semua berjalan lancar, insya-Allah gelembung pelancongan akan dilaksanakan secara lebih meluas,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI