PUTRAJAYA – Dua kluster aktif dari Kedah iaitu Kluster Tawar dan Kluster Sala masing-masing merekodkan tujuh dan dua kes positif Covid-19 hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes jangkitan Covid-19 di Malaysia sebanyak 9,212.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sembilan kes itu adalah sebahagian daripada 12 kes positif baharu hari ini yang turut melibatkan satu kes penularan tempatan lain dan dua kes import.
“Sebanyak tujuh kes positif di Kluster Tawar dengan empat dikesan di Kedah manakala tiga dikesan di Pulau Pinang selain dua kes di Kluster Sala.
“Satu lagi kes penularan tempatan melibatkan warganegara yang dikesan di Selangor hasil saringan bergejala.
“Dua kes import pula membabitkan bukan warganegara dengan kes adalah dari Syria dan Filipina yang dikesan di Kuala Lumpur,” katanya dalam laporan harian perkembangan Covid-19 di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, terdapat lapan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Tiada pertambahan kes kematian dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes,” katanya. -K! ONLINE