KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat menerima usul mengurangkan kadar kompaun bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka di kawasan sesak menerusi pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Usul dibentangkan Dr. Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) mengikut peraturan 18(1) yang dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat pada Khamis lalu.
“Usul ini adalah perkara tertentu berkaitan pelan kerajaan untuk menguatkuasakan pemakaian pelitup muka sejak 1 Ogos 2020 dan juga kekeliruan yang timbul akibat definisi tempat sesak yang tidak jelas dan penguatkuasaan yang tidak tentu selain hukuman saman yang terlalu berat kepada mereka yang melakukan kesalahan tersebut.
“Oleh itu satu persetujuan harus disegerakan supaya tidak ada lagi dimangsakan dengan hukuman berat di bawah akta ini,” katanya.
Usul diterima selepas memenuhi tiga kriteria utama iaitu bersifat tertentu, membabitkan kepentingan awam dan berkehendakkan ia disegerakan.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Abdul Rashid Hasnon berkata usul berkenaan dibahaskan mengikut peraturan mesyuarat 16(6).
“Usul akan dibahaskan pada hari ini pukul 2.30 petang di kamar khas,” katanya. -K! ONLINE