SPIELBERG, Austria – Pelumba pasukan Pramac Racing, Jorge Martin terus mempamerkan kejutan apabila menempah petak pertama buat kali kedua berturut-turut menjelang perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada Grand Prix (GP) Austria malam esok.
Martin yang berdepan masalah selepas terjatuh pada sesi latihan keempat, bangkit melakukan aksi luar biasa dari kelayakan pertama (Q1) sehingga ke petak pertama perlumbaan pada saingan Litar Red Bull Ring esok.
Lebih menarik, Martin yang muncul juara pada GP Styria minggu lalu mencatat rekod baharu terpantas satu minit 22.643 saat sekali gus mengatasi rekod lama milik rakan sepasukannya, Johann Zarco (1 minit 22.827s).
“Saya sangat takut sewaktu sesi Q1 kerana ramai pelumba terbaik dalam saingan itu. Namun, saya kembali mendapat keyakinan untuk terus memecut lebih laju pada sesi kelayakan kedua.
“Bagaimanapun, saya berdepan masalah dengan brek hadapan mungkin kerana terlalu panas pada sesi kelayakan pertama.
“Apa-apa pun, saya tetap gembira dengan keputusan ini dan berharap mampu melakukan kejutan serta mengulangi magis pada perlumbaan sebenar esok,” kata Martin.
Pelumba Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo pula terpaksa berpuas hati mencatat masa kedua terpantas 1 minit 22.677s sementara Francesco Bagnaia dari pasukan Ducati di tempat ketiga terpantas. – K! ONLINE