PETALING JAYA – Salah seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat berasal dari Asajaya Laut, Samarahan yang meninggal dunia dalam kejadian tembakan di Balai Pengawal, Skuadron 330, di Kota Samarahan, tidak sempat menatap wajah anak sulung.
Menurut kakak ipar Mohammad Ehsan, Aida Camalia, 27, arwah bernikah dengan pilihan hati, Nuratiqah Nurul, 20-an, pada 26 November tahun lalu.
“Mereka bernikah pada penghujung tahun lalu dan isterinya kini sedang mengandung anak sulung empat bulan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Berita berkaitan: Tembakan: Anggota TUDM tembak rakan sebelum bunuh diri
Mohammad Ehsan adalah merupakan salah seorang daripada empat anggota TUDM yang maut dalam kejadian tembakan di Balai Pengawal, Skuadron 330, di Kota Samarahan kelmarin.
Kejadian pada pukul 7.15 pagi itu turut mengorbankan Laskar Udara Kanan Nesly Nabau berasal dari Sibu; Koperal Udara Ho Swee Boon berasal dari Lundu serta Koperal Udara Sharif Mohd. Siddiq Al-Attas Wan Sabli dari Siniawan, Bau.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, proses bedah siasat hanya akan dilakukan selepas keputusan ujian calitan ke atas mayat mangsa diperolehi.
“Setakat ini saya dimaklumkan bahawa bedah siasat ke atas mayat salah seorang mangsa akan dijalankan pada pukul 5.30 petang ini (semalam), manakala untuk tiga lagi mangsa perlu menunggu sehingga keputusan ujian calitan mereka keluar.
“Siasatan masih diteruskan oleh pihak polis bagi mengenal pasti punca atau motif kejadian berlaku,” katanya ringkas.
Berita berkaitan: Rampas raifal, tembak tiga rakan
Kelmarin, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad meluangkan masa bertemu waris empat anggota TUDM tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga empat anggota TUDM tersebut.
“Selaku Menteri Pertahanan, saya menzahirkan ucapan takziah kepada waris-waris semua perajurit negara terbabit.
“Saya doakan semoga seluruh keluarga mangsa terlibat tabah menghadapi situasi sukar ini dan pihak TUDM juga telah menguruskan semua urusan berkaitan pengkebumian jenazah termasuk urusan kebajikan waris perajurit terlibat,” katanya.