fbpx

Pelepasan efluen ke longkang punca kematian ikan di Sungai Penchala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan ikan yang mati akibat pencemaran efluen di Sungai Penchala, Seksyen 14, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Tindakan sebuah kilang melepaskan efluen ke longkang disyaki menjadi punca pencemaran air serta mengakibatkan kematian ratusan ekor ikan di Sungai Penchala, Seksyen 14 di sini sejak 12 Ogos lalu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkaitan aduan orang awam tentang
kejadian ikan mati dengan jumlah yang banyak di sungai tersebut.

“Susulan aduan yang diterima, agensi seperti LUAS, JAS, Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS) termasuk Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) telah menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Setelah melakukan siasatan di beberapa lokasi, pasukan siasatan telah menemui air berwarna keruh yang mengalir ke dalam Sungai Penchala dengan kandungan nilai pH aliran tersebut mencatatkan bacaan pH 12,” katanya hari ini.

Jelas kenyataan itu, pemeriksaan lanjut dilakukan hingga ke Jalan Professor Koy Khee Kim dan mendapati keadaan longkang masih keruh dengan pelepasan efluen disyaki berpunca daripada premis kilang yang beroperasi di kawasan tersebut kira-kira 165 meter dari Sungai Penchala.

“Pemeriksaan di premis kilang itu mendapati mereka telah melepaskan efluen mentah ke longkang berkenaan dengan ujian pH merekodkan bacaan 10 lalu pensampelan efluen telah dilaksanakan di tapak bagi tujuan analisa lanjut.

“JPNS juga telah menjalankan pensampelan ikan dan air sungai di lokasi pencemaran bagi tujuan analisa dan forensik lanjut punca sebenar kejadian malah pihak SPAN juga turut memeriksa loji rawatan kumbahan (LRK) IWK berhampiran Sungai Penchala,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan akan dikenakan mengikut Seksyen 79(1)(a) Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, di mana sebarang pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada RM 200,000 dan tidak melebihi RM 1 juta.

“Terima kasih kepada orang ramai atas keprihatinan agar kelastarian sumber air dapat dipelihara sewajarnya dan semua pihak diseru agar memaklumkan sebarang aktiviti yang disyaki berpotensi menyebabkan pencemaran agar siasatan dan tindakan segera dapat diambil,” katanya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI