PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pelbagai tindakan drastik termasuk memaksimumkan kapasiti bagi menerima kesemua pesakit yang memerlukan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Ketua Setiausahanya, Datuk Mohd. Shafiq Abdullah berkata, wad sedia ada di HTAR juga sudah dinaik taraf dari segi kemudahan dan peralatan bagi memastikan rawatan yang terbaik diberikan kepada pesakit.
Beliau berkata, sejak bulan lalu, KKM memobilisasi seramai 27 kakitangan kesihatan dari fasiliti-fasiliti kesihatan di Selangor dan beberapa negeri di luar negeri itu untuk berkhidmat sementara di HTAR.
“Mereka membabitkan pegawai perubatan dan kesihatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Shafiq berkata, kementerian turut menempatkan kakitangan daripada jabatan lain seperti doktor meliputi 12 pakar, 53 pegawai perubatan dan 10 pegawai perubatan siswazah di HTAR.
Selain itu, seramai 74 jururawat terlatih, 13 jururawat masyarakat, 129 penolong pegawai perubatan dan 80 pembantu perawatan kesihatan turut ditugaskan di hospital sama.
“Buat masa ini, kadar penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 di HTAR adalah 154.73 peratus atau bersamaan 1,098 orang pesakit,” katanya.
Katanya, pada bulan lalu, HTAR menerima tambahan 151 katil pesakit dan 200 lagi katil serta 30 ventilator akan dihantar awal minggu hadapan.
Mohd. Shafiq berkata, KKM juga telah meluluskan sewaan 23 unit ambulans daripada syarikat swasta untuk tempoh sebulan bagi kegunaan HTAR.
“Manakala, dua buah bas juga telah diubah suai menjadi bas ambulans beroksigen untuk membawa pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan daripada Pusat Penilaian Covid-19 (CAC),” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929