IPOH – Kerajaan Perak telah mengemukakan cadangan supaya pekerja bagi sektor makanan dan minuman serta pelancongan diberikan vaksin segera.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, cadangan tersebut diputuskan dalam perbincangan pada mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) yang berlangsung semalam.
Beliau berpendapat, adalah lebih baik untuk pekerja restoran dan kakitangan hotel diberi vaksin terlebih dahulu untuk mengelak risiko jangkitan.
“Mereka perlu diberi vaksin kerana ia adalah adil kepada pelanggan yang telah lengkap divaksinasi tetapi terpaksa berhadapan risiko tinggi.
“Kita telah putuskan dalam mesyuarat JKKN dan hantar cadangan itu kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara,” katanya.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan individu yang sudah lengkap divaksin untuk ‘dine-in’ di restoran bermula Selasa lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan berkata, kebenaran itu hanya untuk mereka yang menetap di negeri yang sudah berada di bawah fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929