PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menjangkakan pembukaan semula pulau-pulau peranginan utama di negara ini dapat dilaksanakan pada awal bulan September depan tertakluk kepada keputusan semasa berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditentukan kerajaan.
Kesediaan itu selaras dengan sasaran imuniti kelompok di pulau-pulau utama seperti Langkawi, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentian yang dijangka dapat dicapai pada akhir bulan Ogos ini hasil program vaksinasi yang dipergiat ketika ini.
Menterinya, Datuk Nancy Shukri berkata, pihak kementerian juga sedang mengemas kini dan menyiapkan SOP-SOP berkaitan sektor pelancongan.
“Cadangan pembukaan semula sektor pelancongan hendaklah dilaksanakan dengan teliti dan berhati-hati.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya penularan Covid-19 hingga menyebabkan penutupan semula dibuat yang akan menjejaskan keseluruhan rantaian sektor pelancongan terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nancy terdahulu mengadakan sesi libat urus secara maya dengan 15 wakil persatuan dalam kalangan penggiat industri hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Noor Zari Hamat bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian dan pejabat MOTAC negeri.
Nancy berkata, sesi libat urus itu penting bagi membolehkan penggiat industri bersiap sedia ke arah pembukaan sektor pelancongan terutama melibatkan pulau-pulau peranginan utama negara dalam masa terdekat. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929