JASIN – Seramai 44 Orang Asli dari lima kampung di daerah ini hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selepas berubah fikiran untuk menerima suntikan vaksin di PPV Dewan Alamanda, di sini, hari ini.
Antara kampung Orang Asli terlibat termasuklah Bukit Seraya, Gapam, Air Sialang, Solok Terentang dan Lubok Bandung.
Menurut salah seorang penerima, Dolah Rochok, 60 dari suku Temuan, sebelum ini dia sudah mendapat tarikh janji temu untuk suntikan dos pertama, namun mengabaikannya selepas dimomokkan dengan kesan sampingan yang menakutkan.
“Sepatutnya saya mengambil suntikan dos pertama pada bulan lalu, namun saya tidak hadir ke PPV kerana takut selepas mendengar pelbagai kisah negatif dikongsikan orang lain.
“Tetapi selepas mendengar penerangan daripada anak-anak, saya mengambil keputusan untuk menerima suntikan vaksin pada hari ini, malah proses itu sekejap sahaja dan tidak menyakitkan,” katanya ketika ditemui di PPV Dewan Alamanda, di sini hari ini.
Sementara itu, Malini Latif, 23, memberitahu, sebelum ini dia menolak untuk diberikan suntikan vaksin kerana terpengaruh dengan pendapat negatif segelintir pihak di media sosial.
Jelasnya, dia bagaimanapun hanya berasa yakin setelah melihat suaminya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan selepas mengambil suntikan vaksin.
Sementara itu, Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Alor Gajah dan Jasin, Adzrien Ab. Rahim berkata, setakat ini seramai 374 daripada jumlah keseluruhan 535 yang layak menerima vaksin telah lengkap dos kedua. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929