MELAKA – Sekumpulan pekerja warga asing yang dipakaikan gelang merah jambu bertindak membaling batu dan kayu kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) selepas tidak berpuas hati dengan kematian rakan mereka di sebuah asrama di Tanjung Kling, di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, tiga putugas KKM dan seorang pengawal keselamatan kilang berusia 33 tahun bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, rusuhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak berpuas hati kumpulan tersebut dengan cara pengurusan pengawal keselamatan terhadap salah seorang rakan mereka yang ditemui tidak sedarkan diri.
“Pengawal keselamatan kilang telah dimaklumkan mengenai kejadian seorang pekerja tidak sedarkan diri dan tiga petugas KKM telah hadir bersama-sama sebuah ambulans sebelum mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia.
“Bagaimanapun ketika pihak kakitangan melakukan tugasan lanjut, salah seorang daripada pekerja enggan memberikan kerjasama sehingga berlaku provokasi dan bertindak membaling batu terhadap pengawal keselamatan terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, petugas KKM dan pengawal terbabit berjaya keluar dari asrama terbabit, namun kumpulan itu terus membuat rusuhan di pintu pagar hadapan asrama dengan membaling kayu pada ambulans.
“Mereka juga bertindak merosakkan sebuah motosikal Honda Wave milik pengawal keselamatan, pondok pengawal keselamatan, televisyen litar tertutup (CCTV) dan peti penggera kebakaran menyebabkan kerugian kira-kira RM22,000,” katanya.
Tegasnya, setakat ini tiada tangkapan dilakukan memandangkan kumpulan itu antara 670 pekerja warga asing yang sedang menjalani perintah kuarantin dan dipakaikan gelang merah jambu sejak 12 Ogos lalu.
Terdahulu, satu rakaman klip video kejadian rusuhan tular di laman sosial Facebook sehingga mencetuskan kebimbangan orang ramai. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929