SEBERANG PERAI – Dua individu di Butterworth di sini yang kesunyian kerugian wang lebih RM27,000 dipercayai selepas diperdaya sindiket Love Scam, semalam.
Wanita berusia 48 tahun dan lelaki berusia 54 tahun itu masing-masing terbabit dalam dua kes berbeza selepas berkenalan dengan individu kononnya dari luar negara menerusi media sosial Facebook baru-baru ini.
Salah seorang mangsa dikatakan berkenalan dengan wanita yang mengaku dari Amerika Syarikat, manakala seorang lagi lelaki dari Belanda.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kedua-dua mangsa yang dilamun cinta maya itu masing-masing dimaklumkan oleh suspek bahawa telah menghantar hadiah kepada mangsa sebagai tanda percintaan.
“Seterusnya mangsa dihubungi oleh suspek yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran dan mendakwa hadiah yang mengandungi ribuan wang (dolar Amerika Syarikat) telah tiba di negara ini.
“Mangsa dikehendaki membuat bayaran ke dalam nombor akaun yang diberikan oleh suspek sekiranya ingin menerima barangan tersebut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Noorzainy berkata, kedua-dua mangsa yang teruja masing-masing membuat pemindahan wang sebanyak RM13,790 dan RM13,700 ke dalam nombor akaun yang diberikan suspek tanpa membuat semakan terlebih dahulu.
“Kedua-dua mangsa mula curiga apabila suspek masih meminta wang tambahan sebelum mereka membuat semakan dengan polis semalam dan mendapati mereka ditipu,” ujarnya.
Orang awam boleh membuat semakan lanjut mengenai individu mencurigakan di pautan, http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau aplikasi Check Scammers CCID di Google Playstore sebelum membuat transaksi online. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929