fbpx

City akan kemuka tawaran £120 juta untuk Kane

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANE masih menjadi buruan utama Manchester City yang sedia berbelanja besar pada jendela perpindahan pemain musim ini. – AFP

MANCHESTER – Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City akan mengemukakan tawaran rasmi kepada To­ttenham Hotspur bagi mendapatkan Harry Kane pada Isnin depan selepas pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi pembukaan liga malam esok.

Sebagai rekod, skuad kendalian Pep Guardiola itu akan bertandang ke Stadium Tottenham Hotspur untuk bertemu dengan The Lilywhites sekali gus menghangatkan hubungan kedua-dua kelab itu yang terpalit dengan isu perpindahan Kane sejak bulan lalu.

Guardiola sebelum ini secara terbuka mengesahkan pihaknya sangat berminat untuk mendapatkan khidmat kapten skuad antarabangsa England itu tetapi tuntutan nilai perpindahan sebanyak £150 juta (RM877.7 juta) terlalu tinggi untuk mereka penuhi.

Justeru, pengurusan The Citizens bersetuju untuk memberikan tawaran rasmi terbaharu bernilai £120 juta (RM702 juta) pada Isnin depan sekali gus memecahkan rekod perpindahan tertinggi EPL buat kali kedua musim ini.

Sebelum ini, City telah berjaya memecah rekod dengan menandatangani kapten pasukan Aston Villa, Jack Grealish dengan nilai perpindahan sebanyak £100 juta (RM585 juta) pada minggu lepas.

Kane yang berusia 28 tahun dijangka melapor­kan diri pada sesi latihan skuad kendalian Nuno Espirito Santo buat pertama kali hari ini selepas diarahkan menjalani kua­rantin kendiri selama seminggu selepas pulang daripada percutian musim panas minggu lalu.

Kane juga telah dikritik hebat oleh penyokong Spurs kerana gagal melaporkan diri mengikut jadual asal 2 Ogos sehingga ada yang mendakwa dirinya tidak profesional kerana enggan menyertai pasukan sebelum membuat kenyataan terbuka mengenai percutiannya pada Sabtu lepas. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI