MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengharapkan tiga mata pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Leeds United di Old Trafford malam ini.
Meskipun dianggap sebagai pilihan pada perlawanan tersebut, namun beliau tetap bimbang memandangkan United memiliki rekod buruk apabila beraksi di laman sendiri sepanjang musim lalu.
Justeru, Solskjaer menggesa barisan pemainnya menampilkan aksi sempurna memandangkan beliau mahu memulakan saingan musim baharu dengan langkah kanan.
“Permulaan musim sangat penting untuk semua pasukan kerana mahu mencari momentum. Saya akui kami memiliki rekod kurang baik di laman sendiri pada musim lalu.
“Bagaimanapun, kali ini kami akan turun dengan sokongan penyokong, jadi sudah tentu ia sesuatu yang berbeza. Saya harap ia boleh berikan kami lebih keyakinan pada perlawanan itu nanti,” katanya.
Pengendali dari Norway itu juga tetap berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan Leeds memandangkan skuad kendalian Marcelo Bielsa itu memiliki kemampuan untuk melakar kejutan.
“Semua orang tahu setiap pasukan yang dikendalikan Bielsa memiliki kemampuan luar biasa. Kami sudah tidak sabar untuk memulakan aksi kerana semua pemain berada dalam keadaan bersedia,” ujarnya. – AGENSI