IPOH – Seramai 1,159 penduduk Orang Asli di 23 lokaliti dalam daerah Batang Padang disahkan positif Covid-19 dan lokaliti tersebut kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, terdapat 12 kes kematian penduduk pribumi direkodkan berpunca daripada penduduk Orang Asli yang bekerja di kilang sebelum merebak ke komuniti masing-masing.
“Tindakan kawalan jangkitan dijalankan melalui pengasingan dan rawatan di Pusat Kuarantin Risiko Rendah Covid-19 (PKRC) Sungkai khas bagi pesakit dalam kalangan Orang Asli.
“Selain itu, kawalan juga dijalankan melalui pelaksanaan PKPD di kesemua perkampungan Orang Asli yang terlibat,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, sehingga semalam, pihaknya merekodkan 10,221 atau 45.5 peratus Orang Asli di seluruh Perak telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
Media pada Isnin lalu melaporkan, sebanyak 23 perkampungan Orang Asli suku Semai di daerah Batang Padang dilaksanakan PKPD serentak selama 14 hari bermula semalam hingga 24 Ogos depan. – K! ONLINE