fbpx

Cadangan rentas parti akan dibentangkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perdana Menteri berkata, sekiranya usul undi tidak percaya diluluskan di Parlimen, cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan akan dibentangkan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan antaranya ialah mengenai peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

“Baru-baru ini saya telah mengumumkan pemberian peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara tanpa mengira parti politik bagi tujuan pembelian bakul makanan untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan.

“Atas semangat kerjasama bi-partisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik,” katanya menerusi ucapan khas hari ini.

Katanya lagi, bagi mendokong prinsip “Whole of Government” dan “Whole of Society” dalam memerangi pandemik Covid-19 , Menteri Kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambah baik Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu, cadangan ketiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang UndangUndang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

“Keempat, kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

“Kelima, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa. Bagi tujuan tersebut, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan in,” katanya.

Manakala bagi cadangan keenam, Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirunding terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen.

“Akhirnya yang ketujuh, sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri kanan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI