PETALING JAYA – “Semuanya seperti magis. Rakyat Malaysia sangat pemurah dan prihatin.”
Itu ungkapan yang terbit daripada bibir pelakon Mawar Rashid selepas berjaya mengumpulkan wang lebih RM100,000 hasil sumbangan orang ramai dalam tempoh tiga hari pada akhir Julai lalu.
Menurut pemilik nama lengkap Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 26, sumbangan tersebut telah membolehkannya memberli beberapa peralatan hospital termasuk mesin oksigen dan troli mudah alih.
“Alhamdulillah, kami berjaya mengumpul sumbangan daripada rakyat Malaysia sebanyak RM91,400.00 dan menjadikan jumlah keseluruhan RM114,400.
“Dengan wang ini kita dapat membantu Hospital Selayang dengan menyumbang lapan jenis peralatan hospital seperti lima unit mesin oksimeter, 10 unit meja mudah alih dan 15 tong serta alatan oksigen,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Katanya, semua wang kutipan tersebut diraihnya hanya dengan melakukan kempen menerusi siaran langsung dalam Instagram (IGLive) selama tiga hari sahaja.
“Setakat ini sambutan sangat hebat. Semuanya seperti magis, ajaib dan tidak sangka boleh meraih sumbangan lebih RM30,000 dalam satu sesi IGLive.
“Keprihatinan rakyat Malaysia buatkan saya rasa sebak. Rua-rupanya ramai yang masih tercari-cari platform untuk memberi sumbang kepada sektor kesihatan negara ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang telah menyumbang,” katanya lagi.
Tambahnya setiap kali diberi amanah untuk memegang, dia akan menjadi seorang yang sangat telus dengan berkongsi setiap bukti pembelian.
“Walaupun memegang satu sen, jika itu hak orang lain, saya akan pastikan diri kekal telus dengan amanah yang diberikan.
“Usaha ini juga saya wujudkan selepas melihat dan merasai bagaimana rasanya dijangkiti virus maut itu dan usaha petugas barisan hadapan yang tidak pernah mengenal erti penat merawat pesakit Covid-19.
“Semua itu telah membuka mata saya untuk menyediakan platform dengan memberi peluang rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka,” tuturnya lagi.
Untuk rekod, IGLive tersebut turut mendapat sokongan dan bantuan daripada beberapa rakan selebriti seperti Zoey, Zarina Anjoulie dan Eyra Hazali. – K! ONLINE