fbpx

HRW tuduh Hamas lakukan jenayah perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beberapa pejuang Hamas sedang bersiap sedia ketika satu acara perarakan anti-Israel yang diadakan di Semenanjung Gaza, Palestin, pada 28 Mei lepas. - Ismael Mohamad/United Press International

NEW YORK – Kumpulan hak asasi antarabangsa,  Human Right Watch menuduh kumpulan Hamas melakukan jenayah perang kerana melancarkan serangan  yang mengakibatkan kematian dan kecederaan penduduk awam di Israel  serta Gaza pada Mei lepas, lapor agensi berita United Press International semalam.

Pertubuhan bukan kerajaan itu berkata, siri serangan roket Hamas telah membunuh 12 warga Israel dan mencederakan puluhan yang lain.

Tambahnya, serangan dari Gaza itu turut membunuh serta mencederakan sebilangan penduduk Palestin.

“Pejuang Hamas ketika pertempuran pada Mei lepas, secara terang-terangan mencabuli undang-undang peperangan dengan melancarkan beribu-ribu roket secara rawak  ke arah bandar-bandar di Israel.

“Kegagalan Hamas dan kerajaan Israel memikul  tanggungjawab terhadap tuduhan jenayah perang membuktikan pentingnya peranan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” kata pemangku Pengarah HRW Rantau Asia Barat dan Afrika Utara,  Eric Goldstein.

Pada bulan lepas, HRW menuduh Israel melakukan jenayah perang sepanjang pertempuran selama 11 hari tersebut.

Menurut organisasi itu, tiga serangan Israel yang membunuh 62 penduduk Palestin dianggap sebagai jenayah perang kerana tidak menyasarkan fasiliti ketenteraan di kawasan sekitarnya.

Susulan itu, HRW meminta ICC  untuk menyiasat serangan Israel tersebut.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Gaza menyalahkan tentera Israel kerana mencederakan hampir 2,000 penduduk Palestin ketika pertempuran tersebut termasuk 600 kanak-kanak.

Bagi pihak Israel pula, mereka mendakwa serangan pejuang Hamas telah mencederakan ratusan  penduduknya. – AGENSI  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI